Kongsi Sastera: Perawan Remaja dalam cengkeraman Militer, antara sejarah dan sastera.




Sastera bukan sekadar sebuah penulisan, ianya sebuah nukilan tentang kehalusan berfikir secara falsafah lalu diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Sastera juga berperanan menceritakan peristiwa yang penting dalam catatan sejarah dunia dan realistik. Sejarah pula merupakan penafsiran tentang peristiwa. Istilah sejarah berasal daripada perkataan arab “syajarah yang bererti pohon atau pokok kerana konsep sejarah berkait dengan salasilah keluarga yakni berbentuk akar pokok. Gabungan diantara sastera dan sejarah ini menjadikan sesebuah karya itu lebih realistik dan lebih dekat dengan pembaca kerana ianya berkisarkan tentang perkara yang telah dilalui sendiri oleh seseorang individu, masyarakat ataupun sesebuah negara. Novel Perawan dalam cengkeraman Militer merupakan sebuah rakaman sejarah sebenar yang diceritakan oleh Pramoedya Ananta Toer melalui karya sastera berdasarkan derita hidup yang yang dilalui gadis-gadis Indonesia yang menjadi korban kekejaman tentera Jepun semasa perang dunia ke-2.
Jika dihalusi dari aspek sejarah, secara rasminya, Jepun telah menguasai Indonesia sejak tanggal 8 Mac 1942. Pada ketika itu, rakyat Indonesia menerima kedatangan Jepun dengan hati yang senang dan terbuka kerana beranggapan bahawa kedatangan Jepun pada ketika itu merupakan sinar bagi membebaskan Indonesia daripada belenggu penjajahan Belanda. Namun seperti pepatah melayu ada menyebut, “keluar dari mulut buaya, masuk ke mulut naga”, Jepun lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan berbanding Belanda.
Pada tahun 1943, pihak Jepun mengeluarkan satu janji yang kononya memberi kesempatan kepada para anak gadis remaja untuk melanjutkan pelajaran di Tokyo dan Shonanto. Namun janji yang telah dikeluarkan oleh pihak Jepun tersebut tidak diumumkan secara rasmi atau mempunyai sebarang hitam putih kerana sengaja mengaburi jejak syaitan yang telah direncana oleh mereka. Dengan itu, para anak gadis di Indonesia pun berangkat menerima janji manis daripada pihak Jepun dan ada diantara mereka terpaksa mengikut serta meninggalkan kampung tercinta kerana memikirkan ancaman pihak Jepun terhadap keluarga yang mungkin akan disakiti oleh pihak Jepun jika mereka enggan. Pelayaran yang merbahaya dan menempuh rantau yang jauh hakikatnya bukanlah seindah yang dijanjikan pada awalnya. Mereka akan akan dijadikan sebagai Jugun Ianfu iaitu istilah Jepun terhadap perempuan penghibur kepada pihak tentera. Istilahnya lainnya juga disebut sebagai “military sex slave”, “geisha”,“karayuki-san” dan “Comfort Women”.
Jugun Ianfu bukan perempuan penghibur biasa tetapi mereka sebenarnya menjadi hamba nafsu serakah tentera Jepun dengan dinikmati dengan cara yang kejam. Mereka dipaksa melayani kehendak seks tentera Jepun, di biarkan kelaparan dan ada juga yang dibunuh kerana sakit atau mengandung. Menurut kajian oleh Dr. Hirofumi Hayashi, jugun ianfu terdiri dari perempuan Jepun, Korea, Tiongkok, Malaya (Malaysia dan Singapura), Thailand, Filipina, Indonesia, Myanmar, Vietnam, India, Eurasia, Belanda, dan penduduk kepulauan Pasifik. Sejarah mengenai Jugun Ianfu di coretkan oleh Pramoedya Ananta Toer di dalam bukunya Perawan remaja dalam cengkeraman militer.
Novel Perawan Remaja dalam cengkeraman Militer mengisahkan tentang catatan sebenar Pak Pram sendiri sewaktu menjadi tahanan politik, tentang kisah para gadis desa semasa awal pendudukan Jepun di Indonesia dan setelah Jepun menyerah kalah yang menjadi Jugun Ianfu. Novel yang terdiri daripada lapan bab ini menjadi saksi penderitaan hidup rakyat Indonesia terutamanya anak gadis yang diperlakukan seperti binatang oleh tentera Jepun dalam menyempurnakan nafsu serakah. Dapat disimpulkan bahawa novel ini merupakan satu dokumen sejarah yang ditulis dalam bentuk sastera namun ia lebih terperinci kerana diceritakan secara langsung oleh Pramoedya.
Selamat membaca!

Comments

Popular posts from this blog

Falsafah: Menyingkap Alegori Gua Plato